Sunday, March 23, 2008

Belajar Merawat Santau

Assalamualaikum. Pada hari ini tokngah berpeluang mengikuti sesi kuliah oleh Ust Mokhtar Kasan daripada Darussyifa Bangi yang datang ke sini untuk mengajar kami cara-cara merawat santau. Memandangkan zaman moden ini masih banyak lagi manusia yang tidak berhati perut belajar membuat santau. Secara ringkasnya santau ini merangkumi mantera,bahan dan makhluk halus. Tiga komponen ini digabungkan barulah dinamakan santau.Santau juga biasanya dilepas oleh pembuat santau ditempat-tempat terbuka seperti kedai makan dan majlis kenduri kahwin. Akan tetapi janganlah pula kita salahkan tokey kedai makan pula! Mereka tak bersalah dalam hal ini akan tetapi yang bersalah ialah pembuat santau yang mencari mangsa di tempat awam.Santau ini terbahagi kepada 4 bahagian iaitu:
1. Santau angin
2. Santau tuju
3. Santau makanan dan minuman
4. Santau langkah
Zaman sekarang umur belasan tahun juga sudah diajar membuat santau.Bahkan mat rempit juga belajar sama.Semua ini adalah untuk keseronokkan diri dan bermegah-megah dengan ilmu yang diajar oleh makhluk halus.
Untuk makluman pembaca entry ni, Ust Mokhtar Kasan ialah perawat Darussyifa Bangi yang khusus untuk merawat santau. Kami gelarkannya sebagai 'pakar santau'.Bahkan semasa kuliah, bila tiba tajuk santau, Tn. Guru sendiri meminta Ust Mokhtar Kasan mengajar tajuk tersebut.
Banyak juga kami perolehi ilmu dan maklumat semasa kuliah yang disampaikannya. Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat santau antaranya serbuk kaca lampu kalimantang, bisa ular,miang buluh,miang rebung, hempedu katak puru,tulang binatang mati beragan dan banyak lagi.Bagi kami santau ini motonya ialah 2M iaitu menyeksa dan membunuh.Sebagai contoh kalau kita baru terkena santau di kedai makan, biasanya kesan yang akan ketahui ialah selepas 2 tahun. Kesan yang biasa terkena pada pesakit ialah sentiasa batuk-batuk. Kalau kita pergi ke klinik kemudian makan ubat batuk kemudian sembuh itu bukan santau namanya. akan tetapi maksud tokngah kalau kita dah makan ubat batuk tapi tak sembuh juga maka bolehlah kita pergi dapatkan rawatan alternatif.Santau yang paling bahaya ialah santau tuju.Kalau kena santau tuju biasanya mangsa akan kena muntah darah.
Kami juga menjalankan sesi praktikal dalam sesi kuliah tersebut . Cuba lihat gambat tersebut:


Inilah cara-cara nak merawat santau. Salah satu bahannya ialah daun nangka. Daun nangka ini gunanya untuk menepuk belakang pesakit. Kalau pesakit terkena santau biasanya serbuk-serbuk kaca,miang buluh atau rebung,rambut dan sebagainya akan keluar dari dada pesakit.Oleh kerana benda tersebut sangat halus, lampu suluh dan kanta akan digunakan untuk melihat serbuk tersebut.
Untuk merawat pesakit yang terkena santau, pesakit hendaklah membuka baju. Bagi pesakit perempuan, perawat mestilah perempuan. Di Darusyifa ada ramai juga perawat perempuan.Mengikut maklumat dari kawan tokngah yang pernah mendapatkan rawatan di Bangi, nisbah jantina pesakit ialah 2 lelaki 8 perempuan.Ertinya ramai pesakit di kalangan perempuan. Tokngah cerita bukan untuk menakutkan pembaca entry ni, tapi itulah realitinya.
Wallahua'lam...............

Friday, March 21, 2008

Merawat di hospital

Assalamualaikum. Pada hari Rabu lepas tokngah mendapat panggilan daripada seorang perempuan yang mahukan tokngah merawat anaknya yang sedang terlantar di hospital swasta.Tokngah terus menghubungi kawan tokngah untuk pergi bersama-sama merawat pesakit tersebut. Sampai di sana ibunya menceritakan dengan panjang lebar kenapa anaknya sakit dan masih terlantar di hospital. Secara ringkasnya, anak lelakinya bersekolah di Asrama Penuh di Negeri Sembilan. Paling misteri anaknya selalu sakit-sakit dan pernah kawan-kawannya terlihat anaknya pengsan di bawah tangga asrama tanpa memakai selipar pada pukul 4.00 pagi. Bila ditanya, anaknya sendiri tidak tahu macam mana dia boleh berada di bawah tangga sedangkan dia dan rakan-rakan tidur di dalam bilik asrama.
Pernah juga satu ketika dia tidur macam biasa, tiba-tiba dia baru perasan dia berada di sebuah beranda dan sedang mengangkat sebelah kakinya(seolah-olah nak terjun ke bawah).Tiba-tiba dia tersedar, terus dia menangis kerana ketakutan. Peristiwa itu berlaku sekitar jam 3.00 pagi. Bayangkanlah kalau dia tak sedar ketika itu. Sudah tentu dia akan terjun ke bawah, silap-silap nyawa pun boleh terbang. Itulah teruknya gangguan yang berlaku ke atas budak tadi.
Selepas merawat tokngah sempat mengajar anaknya cara-cara untuk mendinding diri dari gangguan makhluk halus.Marilah kita sama-sama berdoa supaya anaknya lekas sembuh dan dapat kembali ke sekolah seperti biasa.

Saturday, March 15, 2008

Jenis Rawatan Di Darusyifa

Assalamualaikum. Berikut adalah senarai pelbagai jenis penyakit yang pernah dan kebiasaannya masyarakat rujuk kepada Darussyifa' dalam usaha ikhtiar mereka untuk mencari kesembuhan.

1. Angin Ahmar
2. Asma (juga termasuk Lelah)
3. Badi Mayat & Badi Haiwan
4. Barah (seperti Barah Payu Dara, Hati, Usus dan seumpamanya)
5. Batu Karang
6. Benda Tajam dalam Badan
7. Bisa (Pelbagai jenis Bisa termasuk bisa sengatan serangga, bisa ular juga bisa sendi-sendi)
8. Buah Pinggang
9. Buasir
10. Darah Rendah
11. Darah Tinggi
12. Demam Campak
13. Demam Panas (juga Denggi, Hepatitis dll)
14. Gangguan Emosi
15. Gangguan Tidur
16. Gastrik
17. Gaut
18. Gigi (Semua jenis sakit gigi termasuk sakit gusi)
19. Gila Merian
20. Jantung
21. Kayap
22. Kehilangan (Kehilangan barang atau anak lari dari rumah)
23. Kenan & Kecacatan Bayi
24. Kencing Malam
25. Kencing Manis
26. Keselamatan Diri dan Harta Benda
27. Ketumbuhan
28. Kolestrol tinggi
29. Koma
30. Lekat Tulang
31. Lemah Semangat
32. Lumpuh
33. Magrin
34. Mandul
35. Mata (pelbagai jenis sakit mata)
36. Mata Masuk Benda
37. Memasuki Rumah Baru atau Pejabat Baru
38. Memulihkan Pesakit Akibat Kesalahan Sendiri
39. Menghentikan Tabiat Buruk
40. Mudah Lupa
41. Mudah Marah
42. Murah Rezeki (Mengatasi Gangguan Hutang)
43. Nyanyuk
44. Panas Baran
45. Pelembut Hati
46. Pemisah (seperti memisah tabiat kanak-kanak hisap bantal busuk)
47. Pemutus Susu ( untuk bayi 2 tahun keatas daripada menyusu ibunya)
48. Penahan (Kencing Tak Tus, darah sentiasa mengalir dan seumpamanya)
49. Pendekat Jodoh
50. Penerang Hati
51. Penyakit yang Sukar diubati
52. Penyelera Makan
53. Resdung
54. Sakit dalam Dada (seperti Sesak Nafas)
55. Sakit Kepala
56. Sakit Lutut dan Bengkak Sendi
57. Sakit Perut
58. Sakit Rindu
59. Santau
60. Sawan (pelbagai jenis Sawan seperti Sawan Tangis, Tarik & Babi)
61. Segala jenis Gangguan Spiritual (termasuk gangguan sihir)
62. Selsema yang berterusan
63. Selusuh (Supaya senang melahirkan anak)
64. Sukar Bersalin (seperti disebabkan oleh bayi Songsang didalam rahim)
65. Sukar Tidur Malam
66. Dan pelbagai jenis penyakit lain yang mungkin tidak tersenarai disini.

Itulah keistimewaan Darussyifa kerana bukan sahaja sakit spritual sahaja yang diajar oleh Tn. Guru malah sakit fizikal juga turut diajar. Akan tetapi bagi mereka yang sakit fizikal lebih elok pergi ke hospital dahulu untuk mendapatkan rawatan dan kalau dah habis ikhtiar barulah datang ke Darussyifa. Untuk belajar sahaja mengambil masa setahun.Kalau di Darussyifa Bangi kalau 3 kali tak hadir dalam kuliah tanpa alasan tidak akan diijazahkan oleh Tn. Guru Dr. Haron Din.Itulah disiplin yang harus diikuti untuk mendapatkan ilmu yang cukup bernilai untuk mendapat keberkatan dunia dan akhirat. Wallahua'lam.

Wednesday, March 12, 2008

Balik Kampung

Assalamualaikum. Agak lama juga tokngah tak update blog tokngah ni. Tokngah sebenarnya balik kampung di Kelantan untuk mengundi . Bagi kami orang Kelantan dah selesa dengan kerajaan PAS di bawah kepimpinan ulama.Kami bila mendengar doa tok guru sahaja sudah mengalirkan air mata. Itulah berkat dan rahmatnya berada di bawah kepimpinan ulama.


Semasa di kampung sempat juga kakak ipar di Terengganu meminta tokngah merawat anaknya yang kena demam panas. Apapun selepas merawatnya, tokngah menasihatinya supaya pergi juga ke klinik. Bila balik ke Kelantan pun sama, ada jiran-jiran nampak tokngah, terus dia beli air di kedai dan meminta tokngah bacakan air penerang hati untuk anaknya yang dikatakan agak nakal. Harapan tokngah agar tokngah dijauhkan perasaan megah bila dikurniakan ilmu dan merawat pesakit seikhlas yang mungkin. Dua hari di kelantan sempat juga tinjau-tinjau dekat kawasan kampung untuk mencari daun yang dikatakan boleh merawat sawan. Sawan ni terbahagi kepada 3 bahagian iaitu sawan tangis,sawan tarik dan sawan babi(gila babi).Petua tersebut diberikan oleh Tn. Guru semasa belajar di Darussyifa.Banyak juga pesakit sembuh dengan izin Allah menggunakan kaedah tersebut.Daun-daun tersebut boleh disimpan dan akan digunakan bila sampai masanya nanti. Insyaallah.


Wednesday, March 5, 2008

Merawat Jururawat Kena Gangguan

Assalamualaikum. Pada hari Rabu 4 Mac 2008 tokngah dan dua orang rakan iaitu Ust M dan Ust Z telah pergi merawat seorang jururawat yang kena gangguan setelah suaminya call tokngah supaya merawat isterinya.Suaminya pada awalnya menelefon tokngah pada 3 Mac kira-kira jam 11.30 malam kerana pada ketika itu isterinya kena gangguan yang teruk.Tokngah mengatakan padanya pada malam itu tokngah tak dapat membantu memandangkan pada masa itu tokngah masih lagi dalam perjalanan pulang dari Darussyifa Bangi ke Melaka.Kalau sampai kat rumah pun sekitar jam 12.30-1.00 pagi.
Isterinya ini kena gangguan makhluk halus iaitu melalui bisikan.Bayangkan semasa tinggal berdua bersama anaknya yang berumur kira-kira 8 bulan ada satu suara membisikkan supaya mencekik anaknya sampai mati.Itulah yang tokngah rasa cukup bahaya tu!. Teringat kawan tokngah Ust F menceritakan kepada tokngah dimana ada seorang anak muridnya yang mengalami gangguan yang sama iaitu bisikkan supaya menyembelih adiknya kemudian dipotong dan diletakkan di dalam peti ais. MasyaAllah.......Kalaulah perkara tersebut benar-benar berlaku tak tahulah macam mana nak jawab.
Itulah antara bentuk gangguan makhluk halus kepada manusia.Tokngah berpesan kepada suaminya agar jangan biarkan isterinya tinggal berseorangan dan tokngah dapat tahu untuk keselamatan, anaknya buat masa sekarang dijaga oleh mertuanya.Tokngah meminta suaminya memandikan isterinya dengan daun bidara. Tokngah selesai merawat sekitar jam 11.30 malam.Marilah kita sama-sama berdoa agar isterinya cepat sembuh.Insyaallah.Wallahua'alam.........

 
` © 2007 Template feito por Templates para Você