Thursday, January 31, 2008

Bahana Mempelajari Sihir

Assalamualaikum.Pada kali ini tokngah nak bercerita bahana mempelajari ilmu sihir.Cerita ini tokngah dengar dari mulut Tn. Guru Dr. Harin Din sendiri.Ada seorang pemuda di sebuah kampung yang baru nak menuntut ilmu sihir dari seorang bomoh.Syarat pertama yang diberikan oleh bomoh berkenaan ialah mesti melakukan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.Mahu tak mahu, untuk mendapatkan ilmu yang diberikan oleh syaitan, pemuda berkenaan mestilah membuang air besar di mimbar masjid.Oleh kerana hasutan syaitan, pemuda tersebut sanggup melakukan perbuatan terkutuk ketika ketiadaan jemaah.
Pada keesokan harinya, kebetulan pula jatuh pada hari Jumaat ramailah datang nak bersembahyang Jumaat di masjid berkenaan. Apabila tiba saat imam 1 nak membacakan khutbah, imam tersebut duduk di kerusi mimbar masjid lalu terduduk di atas najis berkenaan. Apalagi menyumpah seranahlah imam tersebut. Terpaksalah tempatnya di gantikan dengan imam 2 sementara imam 1 terpaksa balik kerumah untuk menukar pakaiannya.Selesai sembahyang Jumaat, imam memaklumkan supaya jemaah lain supaya sama-sama mengadakan solat hajat.
Beberapa hari kemudian, pemuda tersebut terpaksa dimasukkan ke hospital kerana tak dapat membuang air besar. Walaupun doktor telah guna pam untuk mengeluarkan najis namun masih lagi gagal.Guna saluran tiub dan kaedah lain juga gagal untuk mengeluarkan najis tersebut.Doktor kehairanan kerana tak pernah berlaku dalam hidupnya semasa menjalankan tugas. Doktor itu secara hikmah bertanya pemuda tadi kalau-kalau ada melakukan perbuatan yang menyalahi syarak. Pemuda tadi berterus-terang dek tak tahan sakit yang dialaminya.Doktor menasihatkannya pergi berjumpa imam berkenaan dan meminta maaf. Dengan rasa bersalah pergilah pemuda tadi ke rumah imam berkenaan. Imam mengatakan kepadanya bukannya dia seorang yang perlu dia minta maaf tapi seluruh ahli jemaah masjid berkenaan.
Pada hari Jumaat berikutnya pergilah pemuda tadi ke masjid dan meminta maaf dengan seluruh ahli jemaah masjid.Ada juga ahli jemaah masjid memaafkannya dek kerana kasihan melihat perutnya semakin hari semakin membusung dan ada juga yang memaki hamun pemuda tersebut dan enggan memaafkannya.
Oleh kerana ada lagi segelintir ahli jemaah yang enggan memaafkannya maka sakit pemuda tadi tidak juga sembuh. Cuba bayangkanlah berminggu-minggu tidak dapat membuang air besar dan kecil.Sampai pemuda tadi nazak dan sekali lagi ahli keluarga pemuda tadi pergi ke masjid merayu dengan ahli jemaah supaya memaafkan perbuatan pemuda tadi. Dek kerana kasihan, seluruh ahli jemaah masjid memaafkan pemuda tadi dan selepas itu dengan kuasa Allah s.w.t keluarlah segala najis dalam perutnya termasuk nyawanya sekali.Pemuda tadi meninggal dalam keadaan aib.
Tokngah harap cerita ini jadi pengajaran buat kita semua supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh mengundang kesyirikan kepada Allah. Wallahua'lam

Saturday, January 26, 2008

Merawat Rumah Kedai

Assalamualaikum. Pada malam ini 26 Januari 2008 tokngah bersama 4 orang rakan telah pergi merawat kedai yang dikatakan telah disihir sehingga menjejaskan perniagaan mereka.Bukan setakat kedainya yang kena sihir malah ahli keluarga dikatakan terkena juga sihir tersebut. Itulah sifat dengki manusia, kenapa dengki dengan rezeki orang.Bila perasaan dengki sudah menguasai diri maka timbullah perbuatan yang disukai oleh syaitan iaitu menutup lubang rezeki orang lain dengan menggunakan kaedah sihir.
Mengikut apa yang tokngah belajar,antara kesan sihir ke atas kedai ialah samada kedai itu serta merta menjadi kurang pelanggan secara mendadak,kedai tak dapat dilihat oleh pelanggan dan lain-lain.Tokey kedai menceritakan sedikit latar belakang kedainya yang mana dia baru membuka kedainya pada bulan April 2007.Pelanggannya pada ketika itu agak ramai juga mungkin harga makanan dikedainya berpatutan dan memenuhi selera pelanggan. Selepas bulan puasa kelihatan kedainya kekurangan pelanggan secara mendadak dan ada juga pelanggan tidak nampak kedai tersebut.Pelanggan tetap juga ada bertanya kepadanya 'kenapa semalam kamu tutup kedai?'Padahal kedainya pada waktu itu dibuka seperti biasa.Pada asalnya dia tak syak apa-apa pun. Sehinggalah dia dapat maklumat daripada kedai-kedai sekitarnya berlaku perkara yang sama ke atas kedai mereka. Cuma ada satu kedai sahaja di kawasannya yang dikatakan agak laris.
Bagi kami siapa yang melakukan perbuatan sihir tersebut tidak penting tetapi yang paling penting bagi kami merawat kedai tersebut. Yang melakukan sihir itu biarlah Allah sahaja yang membalasnya.
Selesai sahaja membaca yaasin dan zikir, tokngah dan Ust M merenjis air di tingkat bawah dan Ust F dan Cikgu K di tingkat atas. Di tingkat atas kami dimaklumkan oleh Ust F dan Cikgu K sewaktu nak menabur garam dicampur lada hitam ada juga rasa meremang bulu roma dibuatnya.Isteri tuan kedai juga memaklumkan kepada kami selesai saja bacaan yaasin, beliau rasa sangat mengantuk. Apa yang tokngah belajar, mengantuk selepas ruqyah adalah salah satu tanda gangguan.Kami selesai merawat kedai tersebut sekitar jam 11.00 malam.Kami berharap Allah s.w.t memakbulkan doa kami supaya kedai itu pulih seperti biasa. Insyaallah. Wallhua'alam.

Friday, January 25, 2008

Guna Khidmat Bomoh

Assalamualaikum. Pada hari ini tokngah nak membincangkan kes yang tergempar di mana seorang kanak-kanak perempuan yang bernama Sharlinie hilang dipercayai diculik.Diberitakan sekumpulan 50 tok bomoh dari sebuah pertubuhan menawarkan perkhidmatan mereka mencari Sharlinie yang telah 2 minggu tidak dijumpai.Dari gambar beberapa cerapan dapat kita perhatikan, antaranya uniform berwarna hitam dan memakai cincin akek sepasang di tangan kiri dan kanan. Mereka membawa burung merpati putih yang kemudiannya dilepaskan, sejenis daun seperti pokok pandan dan sebagainya.Adakah mereka menggunakan khidmat jin?. Kalau benarlah mereka menggunakan khidmat jin maka perbuatan tersebut jelaslah perbuatan khurafat.
Kalau ikutkan perasaan, semua lapisan masyarakat Malaysia marah kepada penculik tersebut.Mungkin bomoh-bomoh tersebut mempunyai niat yang baik untuk menolong mencari Sharlinie yang hilang tetapi cara untuk menolong itu adalah salah. Ingat! Matlamat tidak menghalalkan cara. Sebagai contoh nak menyara nafkah anak-anak,tetapi dengan melakukan perbuatan yang haram di sisi agama seperti berzina,mencuri, berjudi dan sebagainya. Apa salahnya kita sebagai seorang Islam melakukan sembahyang hajat memohon kepada Allah supaya Sharlinie itu dapat ditemui semula.Apa yang paling penting adalah kesabaran kerana Allah nak menguji keimanan seseorang. Wallahu'alam

Sunday, January 20, 2008

Bantu Rakan Merawat

Assalamualaikum.Pada pagi Ahad 20 Januari 2008 seperti biasa tokngah ada kelas kuliah Darussyifa iaitu pukul 9.00 hingga pukul 12.00 tengahari.Sebelum kelas bermula biasanya diadakan majlis bacaan yaasin dan zikir.Pesakit yang datang untuk dirawat juga digalakkan bersama-sama dalam majlis zikit tersebut.Selesai saja bacaan Yaasin tersebut kedengaran seorang pesakit sudah menangis dan menjerit kerana tak tahan mendengar bacaan Quran secara beramai-ramai sehingga terpaksa dipapah oleh perawat wanita menuju ke tempat rawatan.Kebetulan pada pagi ini kami dimaklumkan oleh Pengerusi Darussyifa Cawangan bahawa kelas telah ditunda pada minggu hadapan berikutan semua penceramah Darussyifa Pusat terpaksa mengadiri majlis taklimat pelajar baru ambilan ke-20.
Seperti biasalah kalau kelas tak ada tokngah dan kekawan yang lain pergilah melihat dan membantu perawat yang lebih senior merawat pesakit. Pesakit yang telah menjerit tadi rupanya datang bersama ahli keluarganya seramai empat orang.Rupa-rupanya bukan dia sorang je yang kena tapi 2 lagi ahli keluarganya juga menghadapi sakit yang sama iaitu sihir.Ramai juga kekawan yang membantu memulihkan 3 pesakit yang kena sihir tadi termasuklah tokngah.
Pada kali ini ketiga-tiga pesakit telah diserang secara serentak, maka kedengaranlah bunyi tangisan dan jeritan pesakit sehingga mengganggu pesakit lain.Sebenarnya yang sakit tu ialah jin dalam badan pesakit kerana diruqyah bacaan Quran oleh perawat.Itulah kehebatan ayat Quran bila diruqyah boleh menyebabkan jin itu kepanasan malah boleh mencederakan jin dalam badan.
Apa yang tokngah sedih ialah ada lagi di zaman yang serba moden ini manusia yang sanggup mengupah tukang sihir mengenakan sihir kepada mangsa yang dikehendaki.Kasihan tokngah melihat ketiga-tiga pesakit iaitu 2 perempuan dewasa dan seorang budak lelaki yang tokngah rasa usianya lebih kurang 11 tahun.Jin dalam badan ketiga-tiga pesakit itu telah berinteraksi dengan kami dan tetap berkeras tidak mahu keluar dari badan pesakit itu.Bila ditanya berapa bilangan jin dalam badan pesakit. Dia mengatakan ada 10 ekor jin dalam badannya.Dan seorang lagi pesakit mengatakan ada 7 ekor jin. Mengikut cerita yang tokngah dengar dari emaknya, kalau tak salah dengar anaknya sebenarnya telah disihir oleh bekas tunangnya.Apa-apa pun kami sentiasa dipesan oleh Tn. Guru supaya jangan mudah percaya dengan percakapan jin kerana kebanyakkannya semuanya nak menjadikan kita bergaduh sesama sendiri.Kalau dengar pun hanya sekadar panduan sahaja. Sesiapa pun yang menyihir pesakit itu ingatlah akan azab Allah yang pedih di hari akhirat kelak.Bertaubatlah sebelum terlambat.Wallahua'lam.

Friday, January 18, 2008

Pengalaman Pesakit Dari Jepun

Assalamualaikum ,pada kali ini tokngah dapat satu artikel dalam internet berkaitan dengan pengalaman pesakit bila di rawat.Pesakit ini tinggal di Jepun dan balik ke Malaysia untuk mendapatkna rawatan saka. Jadi kita ikuti pengalamannya.

Assalamualaikum.Baru-baru ni saya balik malaysia.Kakak saya dah arrangekan utk buang saka dgn seorang perawat dari Baling..kami telah menyediakan 24jenis brg2 utk bekalan jin2 tu pergi ke suatu tempat termasuklah ayam panggang,telor,gulai dll.Benda2ni diletakkan dlm perahu upih pinang..

Saya ragu-ragu dengan kaedah begini seolah-olah menjamu dan ikut kehendak jin2 tu tapi terpaksa ikut je sebab kakak sulung saya dah arrangekan, katanya pakcik ni guna keadah Islam seperti ust Harun din juga..

apa yg saya tgk, kaedah ust Harun Din tak begini.

Sewaktu perubatan tu, saya tiba2 mengilai2 dan berckp sedih, tak mau pisah..lepas berubat tu saya tak rasa ringan pun,masih susah nak tidur..

kemudian saya pergi jumpa seorang perawat Darussyifa yg bernama cikgu mad di Kuala Selangor.Waktu dirawat oleh Cikgu Mad, ternyata ia masih ada dlm bdn saya,terpekik terlolong saya bila diruqyah dgn surah Yasin dll.

Waktu jumpa Cikgu mad tu saya dah nak balik ke jepun dan tak sempat dirawat byk kali..

saya sempat pergi kali ke2 sebelum blk dan diruqyah lagi dgn ayat2 alquran dan zikir..saya nampak macam api putih atau current terpercik dari tgn cikgu mad setiap kali dia pegang kepala saya..saya pejam mata pun masih nampak. paling sakit bila ditekan belakang telinga saya sampai terlolong2 dan terkeluar sejenis bahasa dari mulut saya...

sebelum ni pun saya pernah dgr bahasa ni waktu adik saya meracau(adik saya lagi teruk sebab ada saka, disihir oleh teman lelaki dan disihir oleh maksedara).


cikgu mad ckp dia hanya merawat, yang menyembuhkan ialah Allah. sebab masa suntuk sgt utk rawat betul2.tp dia bekalkan air utk mandi dan minum serta buku surah2dan zikir yg perlu baca..

so buat masa sekarang saya masih terasa beban dibahu sayani,tambah2 tiap kali saya pergi kelas@lab jadi berat sgt bahu dan sakit2..kdg2 bila solat rasa sakit2 bdn rasa macam nak demam.saya tak pasti jin apa yg duduk kat saya sebab keluarga saya sekarang diganggu saka.

Itulah pengalaman pesakit yang boleh kita ambil teladan. Yang tokngah kecil hati ada lagi bomoh-bomoh yang menggunakan nama Tn. Guru Dr. Haron Din semata-mata untuk mencari publisiti.Kita di Darussyifa tidak menggunakan barang-barang tersebut untuk menjamu jin bahkan perbuatan tersebut adalah satu perbuatan khurafat.Di Darussyifa, kami hanya menggunakan ayat-ayat Quran dan doa-doa sahaja untuk merawat pesakit.Dr. Haron Din selalu mengingatkan muridnya supaya sentiasa sembahyang hajat dan meminta supaya pesakit yang dirawat disembuhkan oleh Allah.Wallhua'lam

Tuesday, January 15, 2008

Amalan Pengamal Sihir

Assalamualaikum. Hari ini tokngah nak membincangkan berkaitan dengan amalan-amalan yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir atau pengamal ilmu hitam untuk mendekatkan diri mereka kepada syaitan-syaitan jin :-
1.Mengikat mashaf al Quran di bawah kedua tapak kakinya (dijadikan selipar) kemudian di bawa masuk berjalan ke dalam tandas.
2.Menulis ayat-ayat al Quran dengan najis, kotoran atau darah haid di bawah dua belah seliparnya.
3.Menulis ayat-ayat al Fatihah secara terbalik.
4.Bersolat tanpa berwuduk dan kadang-kadang dalam keadaan berjunub.
5.Melakukan penyembelihan semata-mata kerana syaitan dan tidak menyebut nama Allah ketika meyembelihnya dan hasil sembelihan itu diletakkan di tempat-tempat tertentu sebagai persembahan khusus bagi syaitan
6.Melakukan pemujaan terhadap matahari,bulan atau bintang di langit dan mengabdikan diri hanya objek tersebut dan tidak kepada Allah S.W.T.
7.Mengadakan hubungan kelamin dengan ibu kandung atau anak perempuannya sendiri.
8.Melumurkan tahi ke seluruh tubuh dan tidak boleh mencucinya selama beberapa hari atau tempuh tertentu.
9.Memuja kuburan dan memanggil ruh ruh
10.Memuja tengkorak mayat orang mati terbunuh atau kanak kanak


Kesannya terhadap Pengamal Ilmu Sihir

Semasa Masih Hidup

1.Hidupnya sentiasa bermasalah
2.Berniaga tidak menjadi, buatlah kerja apapun tidak akan berjaya, seolah-olah ada sahaja yang menghalang
3.Banyak halangan dalam pekerjaan yang diceburi.
4.Sering sakit yang pelik-pelik yang tidak dapat di kesan oleh doktor seperti histeria, gila isim, panas baran, dapat anak yang cacat dan huduh rupanya, selalu tidak sedarkan diri, sakit kepala bila tiba waktu pagi, waktu matahari jatuh, keluarga selalu berkelahi, di ganggu mimpi ngeri dan menakutkan dan sebagainya.
5.Hilang anak dalam kandungan hasil tumpangan Jin semasa melakukan persetubuhan dan sebagainya.


Di Saat-saat Kematian.

Kadang-kadang berlaku juga kejadian yang aneh-aneh ke atas si sakit yang bersahabat dengan Jin ini sewaktu kematiannya. Antara kejadian-kejadian tersebut adalah seperti ;-
Mati sudah dua atau tiga hari tetapi masih kelihatan hidup dan sangat kuat makan, bila sudah mati mayat itu telah berbau busuk dan reput.
1.Mayat ditumbuhi bulu yang banyak
2.Mayat di bawa lari oleh puak-puak Jin
3.Mata dan mulut mayat kelihatan ternganga dan kelihatan ngeri
4.Selepas kematiannya kadang kala didapati diri si mati itu ( sebenarnya Jin peliharaannya ) balik semula kerumah dan ada yang tidur serta bersetubuh dengan isterinya. ( pada sangkaan si isteri, bahawa suaminya itu hidup semula atau bekas suaminya itu keramat atau wali )
5.Sesetengah mayat pula selepas kematiannya hilang di bawa lari oleh Jin peliharaannya ke dalam hutan untuk santapan puak-puak Mereka.


KESIMPULANNYA


Ringkasnya dari keterangan-keterangan yang telah di kemukakan di atas jelaslah bahawa berkawan dan bersahabat dengan Jin memberi banyak keburukan kepada manusia samada semasa mereka masih hidup, apatah lagi setelah mereka meninggal dunia. Tidak kira apa juga niat dan sebab mereka menjadikan Jin sebagai sahabat atau Khadam mereka.


Menurut sesetengah ulama, berkawan denagan Jin boleh menyebabkan manusia dan Jin yang menjadi sahabatnya itu, jika Jin tersebut terdiri dari pada Jin Islam, sama-sama menjadi kafir dan kedua-duanya akan di humbankan oleh Allah kedalam Neraka. Keadaan ini berlaku kerana manusia yang bersahabat dengan Jin merasa Takbur dan lupa daratan kerana mereka memiliki kuasa yang luar biasa yang tidak boleh di miliki oleh manusia lain dan apa-apa yang mereka hajati dapat diperolehi melalui pertolongan Jin tersebut. Mereka juga menganggap mereka lebih berkuasa daripada Allah dan menyuruh manusia lain meminta pertolongan hanya kepada mereka sahaja Perbuatan ini menyebabkan mereka Syirik kepada Allah kerana meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah, sedangkan Syirik merupakan suatu dosa yang amat berat dan tidak akan di ampun oleh Allah.


Manakala Jin yang menjadi Khadam manusia, menjadi kafir pula kerana mereka juga telah Takbur kepada Allah kerana seronok di sanjung dan di puja oleh manusia. Kadang-kala Jin tersebut juga mengaku mereka adalah tuhan dan menyuruh manusia menyembahnya dengan mengadakan majlis-majlis tertentu seperti Jamu Jin setahun sekali, kenduri, sembelih kambing, korbankan sesuatu kepada Jin dan sebagainya, jika inginkan pertolongan dari mereka. Wallahua'alam.

Friday, January 11, 2008

Rawat Anak Gadis(2)

Assalamualaikum. Pada hari Jumaat 11 Januari 2008, lebih kurang pukul 10.00 pagi, tokngah mendapat panggilan telefon dari bapa gadis yang tokngah rawat tiga hari lepas. Beliau mengatakan sejak dirawat semakin kuat kesannya di bahagian kepalanya dan mengatakan kepalanya macam digergaji dan diketuk dengan objek yang keras.Bukan kepala sahaja bahkan jin dalam badannya sudah menyerang bahagian dada pula.Itulah yang tokngah katakan pada blog yang lepas, bila diminum air ruqyah Al-Quran yang dibekalkan kepadanya,sebenarnya makhluk halus dalam badannya menjadi sakit atau kepanasan. Sebab itulah dia bertindak agresif kerana tak tahan sakit.Tokngah memaklumkan kepada bapanya supaya teruskan meminum air tersebut. Lama kelamaan jin itu akan menjadi lemah.

Pada pukul 5.30 petang sekali lagi tokngah mendapat panggilan dari ibunya pula.Selepas meminum berbotol-botol air yang dibekalkan Ibunya mengatakan anaknya sekarang sudah sakit seluruh badan.Tanpa melengahkan masa tokngah terus call kawan tokngah Ust F dan memaklumkan kepadanya. Dia meminta tokngah sekali lagi pergi ke rumahnya bersama rakan-rakan lain untuk merawat anak gadis terebut.Pada asalnya tokngah pada malam tu dah berbincang dengan isteri nak pergi ke kedai buku.Kalau pergi pun ke rumahnya mungkin lewat sikit, mungkin sekitar pukul 10.30 malam.Tetapi isteri tokngah mungkin memahami situasi pesakit dan tugas suaminya membantu mereka yang memerlukan. Isteri memaklumkan kepada tokngah supaya merawat pesakit itu dahulu dan boleh pergi ke kedai buku pada hari yang lain.Terima kasih kepada isteri kesayangan yang memberi sokongan kepada tokngah.

Setelah berbincang dengan rakan Ust M dan Ust Z, kami bersetuju pergi untuk pergi ke rumahnya selepas waktu Isya'.Setelah sampai tokngah dan rakan-rakan terlebih dahulu mengadakan solat hajat untuk memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah s.w.t.Selesai solat hajat kami memangil pesakit tersebut dan kami mengambil posisi masing-masing. Ust M memegang kepala, tokngah memegang belakang pesakit dan Ust Z memegang bahu pesakit secara serentak.Ruqyah dibacakan secara serentak dan ketika ruqyah dibacakan kelihatan pesakit menangis kerana tak tahan sakit dan kali ini ia agak agresif sedikit sampai menendang-nendang dengan kakinya.Kali ini kami meminta Ust. Z memegang kakinya dan jelas kelihatan warna biru pucat pada urat kakinya sebesar ibu jari. Bila dipegang semakin agresif tindakannya. Kalau dapat berinteraksi dengan jin tersebut mungkin mudah sikit sebab kita boleh gunakan strategi dakwah dan kaunseling dengan jin itu.Kami beranggapan mungkin jin dalam badannya bisu kot sebab tidak mahu berinteraksi dengan kami.Kami melihat pesakit itu agak kepenatan dan menangis mungkin kerana sakit. Kami bersepakat membacakan doa Al-Araq sama-sama supaya bagi dia tidur. Selepas selesai bacaan terus pesakit tertidur. Kami berpesan lagi dekat ibubapanya supaya sentiasa menemani anaknya dan jangan biarkan dia duduk berseorangan. Takut perkara yang tak diingini berlaku.Kami selesai merawat lebih kurang pukul 11.00 malam. Hampir 2 jam juga lamanya.

Sama-samalah kita mendoakan anak gadis tersebut sihat seperti sediakala dan dapat meneruskan persekolahannya.Wallahu'alam.

Thursday, January 10, 2008

Haram Jumpa Bomoh Sihir

Assalamualaikum. Hari ini tokngah nak membincangkan perkara yang berkaitan dengan perbuatan yang dilakukan jika anda diganggu oleh jin atau anda ditimpa oleh serangan-serangan sihir, anda janganlah sekali-kali pergi berjumpa kepada bomoh, dukun, pawang, dan sesiapa sahaja yang menggunakan amalan sihir dan amalan syirik untuk mengubati penyakit anda.

Sesungguhnya iman anda lebih berharga dari segala- segalanya. Syarak ada menyatakan pengharaman penggunaan perubatan seperti ini bagi menyembuhkan segala penyakit yang disebabkan oleh syaitan.

Berubatlah menurut garis panduan yang telah diajar oleh RasuluLLAH SAW dan anda berjumpalah dengan orang-orang yang soleh lagi bertakwa yang mahir di dalam bidang perubatan rohani ini. Islam melarang umatnya mendatangi ahli-ahli syirik untuk berubat.

Dalil - Dalilnya.
"Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal (kahin) dan membenarkan apa yang dikatakan olehnya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang di turunkan ( oleh Allah) kepada Muhammad" (hadith ini di riwayatkan oleh Abu daud)

Syeikh Abdul Rahman berkata, Al Kahin ialah orang yang mengkhabarkan perkara-perkara ghaib yang kononnya akan berlaku pada masa akan datang. Menurut pendapat lain, ia adalah orang yang dapat menceritakan isihati seseorang.

"Bukanlah daripada golongan kami orang yang menilik nasib atau ditilik nasib untuknya atau meramal atau diramalkan untuknya atau melakukan sihir atau dilakukan sihir untuk kepentingannya. Barangsiapa yang mendatangi kahin lalu membenarkan apa yang yang diperkatakan olehnya maka sesungguhnya ia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad" (Riwayat Al Bazzar dengan isnad yang baik).

" Sesiapa yang mendatangi Arraf atau tukang sihir atau kahin dan bertanya sesuatu kepadanya lalu membenarkan apa yang diperkatakan olehnya, maka sesungguhnya ia telah kufur dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad”. (Riwayat Al Bazzar).

Daripada Abu Musa Al-Asyaari r.a, bahawasanya RasuluLLAH SAW telah bersabda,
“Tidak masuk syurga orang yang ketagih arak, yang percaya kepada sihir dan yang memutuskan tali persahabatan.” (Riwayat Ibnu ).

"Barangsiapa yang datang kepada tukang tenung lalu bertanya sesuatu daripadanya, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari" ( Riwayat Muslim)

Cuba kita fikir berbaloi tak jika berjumpa dengan bomoh kemudian sembuh sedangkan pada masa itu akidah kita telah tergadai.Adakah mampu kita nak cover balik amalan kita sebelum ini.

Mengikut pengalaman tokngah dan kawan-kawan yang merawat pesakit, ada juga pesakit yang sebelumnya sihat tetapi bila diruqyah sakitnya akan menjadi lebih teruk.Jadi kalau sesiapa yang tidak faham istilah perubatan Islam memang dia akan berkata sepatutnya bila dirawat semakin sembuh tetapi ni tidak bila dirawat semakin teruk.Kebetulan selepas itu dia beralih rawatan kepada bomoh dan dengan serta merta sembuh.Sudah tentu dia percaya bulat-bulat kepada bomoh.Inilah perkara yang cukup membahayakan akidah sebenarnya.

Tokngah pernah mendengar Tn Guru berkata semasa kuliahnya, pesakit yang ada gangguan makhluk halus dalam badannya bila berjumpa dengan bomoh yang juga menggunakan khadam atau makhluk halus dalam merawat sebenarnya tanpa pengetahuan kita jin bomoh sebenarnya sudah ada MOU(sms) dengan jin yang mengganggu pesakit.Kata jin bomoh kepada jin yang mengganggu pesakit. "Kamu keluar sekejap dari badan pesakit biar tuan aku yang merawat pesakit".Dengan serta merta pesakit itu telah sembuh.Kalau pesakit atau ahli keluarga yang tak faham tentang akidah akan percaya atau bergantung sepenuhnya dengan bomoh yang menggunakan jin.

Sebenarnya untuk mengenalpasti bomoh yang menggunakan jin ini senang saja. Diantaranya cuba pastikan bacaannya samada boleh difahami atau tidak. Kadang-kadang menggunakan bahasa yang tidak difahami, menggunakan kemenyan dan tangkal dalam perubatan, tidak sedarkan diri semasa merawat dan mengatakan yang merawat sekarang ni ialah wali-wali di zaman dahulu dan sebagainya.

Sebenarnya di kalangan ahli keluarga tokngah juga ada yang menjadi bomoh besar iaitu arwah datuk saudara. Tetapi yang salah tetap dikatakan salah.Teringat tokngah di zaman tokngah remaja dulu, datuk saudara tokngah ni semasa merawat, beliau akan menyeru khadamnya yang bernama pok dogol untuk membantunya merawat pesakit.Tetapi yang tokngah sedih, semasa meninggal dunia tiba-tiba burung hantu yang entah datang dari mana berada disisinya. Yang peliknya rumahnya berada di dalam bandar.Semasa nak membawa mayatnya ke kubur, tokngah salah seorang yang mengusung kerandanya. Memang tokngah rasa berat yang teramat sangat macam mengangkat batu yang beratnya beratus-ratus kilo.Ayah tokngah mengatakan semasa nak memasukkan mayatnya ke liang lahad, mukanya tak dapat nak di arahkan ke arah kiblat.Walaupun dah cuba berkali-kali masih juga tak dapat.Tokngah cerita bukannya apa tetapi untuk kita jadikan pengajaran .Jadi sama-samalah kita hindarkan perbuatan syirik tersebut. Wallahua'alam.

Tuesday, January 8, 2008

Rawat Anak Gadis

Assalamualaikum. Pada hari ini 8 Januari 2007 tokngah mendapat panggilan daripada seorang lelaki dan memperkenalkan dirinya En.K. Beliau mahu meminta tolong tokngah merawat anak gadisnya yang berumur 17 tahun yang sakit gangguan setahun lamanya.Kebetulan pada malamnya tokngah tak pergi ke mana-mana dan tokngah pun sanggup pergi kerumah untuk merawat anaknya. Tokngah pun seperti biasalah call kawan tokngah Ust F,Ust M dan Ust Z. Mereka bertiga ni memang banyak ilmu dari tokngah dan kalau ada-ada masalah memang tokngah sendiri akan rujuk kepada mereka.Mereka bertiga ni pun nak belajar buat blog dan Insyaallah tokngah akan ajar mereka.Nanti banyaklah ilmu-ilmu mengenai perubatan Islam dapat kita kongsi bersama.
Berbalik kepada cerita tadi, En. K menceritakan dia pernah bertugas di sebuah negeri jauh dari semenanjung selama beberapa tahun. Bila dinaikkan pangkat terpaksa bertugas di semenanjung. Semasa hendak pulang ke semenanjung anaknya terus kena attack di airport.En. K memaklumkan kepada kami sudah banyak tempat yang dia bawa untuk mengubati anaknya tapi tak juga sembuh-sembuh.Tokngah cakap dekat dia manusia hanya merawat Allah sahaja yang menyembuhkannya dan yang paling penting kita kena sabar.
Sampai saja ke rumahnya tokngah dan kawan mambaca Yaasin beramai-ramai dan terus memagar rumahnya.Dalam masa tu jugalah anaknya terus kena attack dengan lebih teruk lagi. Bayangkanlah budak tu sudah setahun tak pergi sekolah dan tahun ni pula nak ambil SPM.Bila dipegang kepala anak gadis tu dia merasakan sakit kepala yang amat sangat dan rasanya macam dicucuk-cucuk dan dipukul dengan sesuatu benda.Bila habis ruqyah kepalanya masih lagi sakit. Tokngah dan kawan-kawan sempat berpesan kepada ibu dan ayahnya, dalam tempoh rawatan ni biasanya makhluk halus yang berada dalam badannya akan melawan dan akan mengakibatkan pesakit itu akan menjadi lagi sakit.Namun bila setiap hari diminum air doa. Insyaallah jin yang berada dalam badan akan menjadi lemah kerana tak tahan panas maka dengan sendirinya dia akan keluar dari badan pesakit.
Untuk pengetahuan pembaca blog, jin yang berada dalam badan kita ini adalah berbeza dari segi perangai dan watak, sama juga dengan manusia.Ada yang baik, ada yang lembut,ada yang degil dan ada juga yang jahat.Ada yang jadi ketua, ada yang jadi kuli, ada yang kuat, ada yang lemah dan sebagainya. Kalau jin yang degil tulah kita sebagai manusia perlu lebih bersabar.Sebelum pulang tokngah sempat berpesan kepada ibubapanya agar meamndikan anaknya dengan air daun bidara selama 3 hari berturut-turut.Sama-sama kita berdoa kepada Allah s.w.t agar anak gadisnya sembuh seperti sediakala dan dapat kembali semula ke sekolah. InsyaAllah. Wallhua'alam.

Monday, January 7, 2008

Merawat Mualaf

Assalamualaikum. Pada hari ini 7 Januari 2008 selesai saja sembahyang Maghrib di masjid tokngah didatangi suami isteri yang sakit akibat gangguan. Sebenarnya isterinya pernah tokngah rawat dua minggu lepas. Semasa tokngah ruqyah dengan bacaan Quran dan pegang kepala dia mengatakan terasa panas bermula paras dada turun sedikit demi sedikit ke kaki dan kemudian jin itu keluar melalui kaki. Isterinya kembali normal seperti biasa .
Tokngah nampak isterinya macam dalam keadaan sasau dan tokngah merasakan mungkin makhluk halus dalam badannya datang semula atau mungkin makhluk halus yang lebih kuat dari minggu lepas datang mengganggu isterinya yang juga sedang mengandung.Tongah merasa kasihan sebab melihat isterinya dan teringat kata Tn. Guru tokngah bahawa syaitan dan jin juga boleh menyepak bahkan boleh memakan benih anak dalam kandungan.Suaminya mengatakan isterinya selalu sakit dibahagian perut dan terasa ada sesuatu menggigit di dalam perut isterinya.Tanpa banyak soal tokngah terus meruqyah bacaan dekat isterinya dan terus beliau menggelentar dan menangis .Selepas selesai bacaan dia memang nampak makhluk halus itu macam perempuan berpakaian putih sedang mengandung keluar dari perutnya.Selepas itu isterinya kembali normal seperti biasa walaupun sebelum ini badannya panas macam api.
Tokngah kasihan dekat dia kerana mereka suami isteri berketurunan India yang baru memeluk Islam. Ahli keluarga isterinya sudah menghalaunya kerana memeluk agama Islam. Isterinya pun baru memeluk Islam dan segala bacaan Quran pun dia masih lagi tidak pandai membacanya.
Tokngah bagilah dia pendinding diri semasa nak tidur dan nasihatkan suaminya kalau boleh semasa dia mengandung sampai melahirkan anak bagilah dia minum air doa atau air yaasin sahaja. Teringat tokngah kata Dr. Haron Din pada kuliah yang lepas, ada macam-macam penyakit yang mana bila diruqyah sekali sahaja terus sembuh,ada yang diruqyah 2-3 kali baru sembuh dan ada juga diruqyah sampai 40 kali baru sembuh.Malahan ada juga yang tak sembuh.Semua ini adalah dugaan kepada manusia dan nak menguji keimanan kita kepada Allah.
Segala cerita yang tokngah kongsikan bersama bukannya nak menunjukkan tokngah ni pandai dalam bidang rawatan Islam. Sedikit ilmu yang diberi oleh Allah s.w.t adalah untuk menolong orang ramai sekadar yang termampu. Manusia hanya berikhtiar tetapi yang memberi kesembuhan ialah Allah s.w.t. Wallahua'alam.

Friday, January 4, 2008

Halangan Ketika Merawat

Assalamualaikum. Hari ini tokngah nak berkongsi cerita dengan pembaca blog berkaitan dengan halangan ketika merawat. Pada hari Khamis 3 Januari 2008, tokngah dan 3 orang sahabat iaitu Ust F,Ust M dan Ust Z telah bersepakat setelah diminta bantuan oleh tuan rumah untuk pergi ke rumahnya untuk merawat adik dan abangnya yang telah sakit akibat gangguan selama 20 tahun lebih.
Setelah berbincang tokngah telah bersepakat untuk bertemu dengan 3 orang sahabat tokngah di masjid memandangkan kami tidak tahu lokasi rumah yang hendak dituju.Kami bersetuju untuk berkumpul di masjid berkenaan pada pukul 9.00 malam(lepas isya').Tokngah sampai di masjid berkenaan sekitar jam 8.55 malam dan disusuli oleh Ust M dan selepas itu Ust F.Kami masih menunggu seorang lagi sahabat iaitu Ust Z. Kami menunggu Ust Z selama 15 minit dan beranggapan beliau mungkin baru bertolak dari rumah. Lebih kurang 20 minit Ust. Z masih lagi belum sampai dan Ust M terus telefon handset yang selalu dipakainya.Rupa-rupanya isterinya menjawab telefon dan mengatakan beliau baru bertolak dari rumah.
Lebih kurang 30 minit menunggu Ust Z masih lagi belum sampai dan Ust M sekali telefon nombor handsetnya yang satu lagi. Rupa-rupanya sekali lagi isterinya mengangkat handset tersebut. Maknanya Ust Z tertinggal atau dilupakan untuk membawa telefon.Bagi tokngah dan rakan-rakan itu adalah satu halangan untuk merawat.
Setelah menunggu dan masih lagi tidak sampai dan tuan rumah pun sudah sampai dilokasi masjid untuk membawa kami ke rumahnya. Kami bersepakat untuk pergi bertiga sahaja ke rumah tersebut. Kereta kami pun mengikut kereta tuan rumah dan apabila sampai di rumah pesakit,tokngah berasa hairan kenapa kereta ust M tiada di situ.Nak kata tersesat,bagi tokngah memang tak patut sebab kami sentiasa mengekori kereta tuan rumah dari belakang dengan jarak yang dekat . Tokngah terus telefon Ust M kalau-kalau dia tersesat. Rupa-rupanya semasa nak bergerak dia memang tak perasan kereta kami bergerak dan dia pun pergi ke arah yang lain.Itu halangan yang kedua kepada kami.
Selepas itu terpaksalah tuan rumah pergi mencari Ust M yang tidak tahu lokasi entah ke mana. Tokngah dan Ust F terpaksa menunggu Ust M sebelum menjalankan sesi rawatan.Lebih kurang 5 minit menunggu tuan rumah balik semula dan memberitahu kami bahawa dia tidak menjumpai kereta Ust M.Sekali lagi tokngah menelefon Ust M dan memintanya mencari lokasi yang senang dilihat dan diminta menunggu di situ.Sekali lagi tuan rumah pergi ke lokasi berkenaan dan lebih kurang pukul 10.05 minit barulah mereka tiba dengan selamat.Ust M memaklumkan kepada kami bahawa Ust Z yang kami tunggu di masjid tadi telah tersesat dan terpaksa balik semula ke rumah.
Kami memulakan sesi rawatan pada pukul 10.15 malam.Itulah tokngah rasa halangan-halangan ketika merawat.Mengikut apa yang tokngah belajar, kemungkinan besar biasanya makhluk halus ni dia sudah tahu perancangan tuan rumah untuk menjemput kami merawat ahli keluarganya. Jadi mungkin juga mereka mencari pelbagai cara untuk melengahkan kami. Bahkan ada juga pesakit bila nampak muka perawat sahaja, sudah lari lintang pukang.Ada yang kena dan diusung dan dipapah pergi ke pusat rawatan, ada yang menyorok di dalam bilik dan sebagainya.Ini mungkin kerana mereka merasa terancam bila dirawat oleh perawat tersebut. Waallahua'llam.

Tuesday, January 1, 2008

Teknik Merawat

Assalamualaikum. Hari ni tokngah nak bincangkan pasal teknik merawat. Di dalam negara kita ni sudah ada banyak pusat rawatan Islam. Semuanya tokngah boleh katakan bagus .Setiap pusat rawatan diajar teknik tersendiri bila nak merawat pesakit. Bagi tokngah yang berguru dengan tuan guru yang dihormati dan disayangi , Dr. Haron Din , Insyaallah teknik yang diajar olehnya sahaja yang digunakan untuk merawat pesakit.Kaedah yang digunakan oleh Tn Guru ialah memegang tempat sakit dan seterusnya membaca ruqyah . Tidak seperti kaedah yang digunakan di pusat rawatan Islam lain, ada yang menggunakan kayu , pen , serban dan sebagainya. Akan tetapi cara ruqyah bacaannya sama saja.

Baru-baru ni, semasa mendengar kuliah Tn. Guru , beliau melarang sama sekali menggunakan kaedah-kaedah lain. Menggunakan kayu contohhya boleh menyebabkan sakit yang amat sangat. Bukan sahaja kepada jin yang berada dalam badan pesakit tetapi badan pesakit itu sendiri akan merasa sakit.Walaupun cara ketukan menggunakan kayu itu hanya ketukan ringan sahaja. Ibarat kalau pukul semut pun tak mati tetapi kesannya amat kuat.Tokngah pernah bertanya pesakit yang mendapat rawatan menggunakan kayu ni, katanya sakitnya tidak terkira dan badan pun boleh menjadi lebam. Kita lihat foto contoh rawatan menggunakan kayu :



Inilah kesan mangsa sihir.MasyaAllah. sungguh ngeri. Macam kena bantai dek cemeti.

Apa-apa pun tokngah tak katakan menggunakan kayu tu salah dari segi syara'. Mungkin mereka ada alasannya yang tersendiri. Tapi oleh kerana tokngah menuntut dengan guru yang melarang berbuat demikian bak kata orang tua-tua , adab berguru kena hormat guru dan patuh perintah guru..Itulah dia keberkatan ilmu.Bagi tok guru tokngah larangannya itu ada bersebab.Di mana zaman sekarang ada ramai yang tidak senang dengan rawatan Islam ini yang mana anak muridnya boleh dikatakan mencecah ribuan orang. Mereka sentiasa mencari kesalahan dan kelemahan kami. Macam-macam tuduhan dilemparkan. Sebagai contoh ada juga bahan-bahan yang dulu digunakan untuk merawat tetapi tidak digunakan pada masa sekarang kerana mengelakkan berlakunya fitnah.Apa-apa pun kami merawat ikhlas kerana Allah dan tidak mengharapkan apa-apa balasan atau ganjaran daripada sesiapa. Biarlah Allah sahaja yang membalasnya.Wassalam.

 
` © 2007 Template feito por Templates para Você